ANDA
seorang pemalas? Atau anda seorang bos yang kecewa dengan sikap
pekerja-pekerja anda yang malas dan lembap dalam melaksanakan tindakan?
Jangan marah-marah. Mungkin anda perlu melihat malas dalam horizon yang
lebih luas.
Selain melihat malas lebih kepada masalah psikologi
atau sikap individu, malas juga boleh dilihat dari sudut kesihatan.
Seseorang itu mungkin malas kerana mempunyai penyakit yang bersimptom
kemalasan atau melibatkan hormon.
Menurut pakar kesihatan
pekerjaan, Hospital Pakar An-Nur, Dr. Azrul Rozaiman Datuk Abdullah,
malas bukan sekadar keengganan untuk melakukan sesuatu aktiviti tetapi
ia adalah koleksi sifat-sifat buruk merangkumi sikap gemar bertangguh,
tidak menepati waktu, tidak pandai mengurus masa dan lemah untuk
mengenal pasti apa yang perlu diutamakan.
Dalam konteks kesihatan
pekerjaan, Azrul yang mempunyai kepakaran dalam bidang penyakit pekerja
atau risiko penyakit yang boleh didapati pekerja daripada penggunaan
bahan kimia serta psikologi, menyifatkan malas diistilahkan sebagai
kurang produktiviti.
Subjektif
Tapi, ujarnya, malas juga bersifat subjektif kerana ia bergantung kepada perspektif individu.
Misalnya,
jika seorang itu boleh menghasilkan 10 bahan dalam seminggu sedangkan
rakannya boleh menghasilkan 100 bahan dalam tempoh yang sama, dia
mungkin dianggap malas.
Tetapi dia mungkin tidak dianggap malas
oleh bosnya sekiranya bosnya sendiri hanya mampu menghasilkan lima kerja
dalam seminggu. Begitulah penjelasan Azrul bagaimana kayu ukur malas
boleh berubah.
Jelasnya, daripada konteks kesihatan, malas boleh
berlaku dalam dua keadaan iaitu malas yang merupakan simptom kepada
sesuatu penyakit atau malas kerana kesan sampingan ubat-ubatan.
Azrul memberitahu, memang terdapat beberapa penyakit yang boleh menjurus kepada sifat malas seperti penyakit hipotiroid yang disebabkan oleh kekurangan hormon tiroid.
“Apabila
hormon tiroid kurang dalam diri seseorang individu, maka ia biasanya
akan memperlihatkan simptom malas seperti mentalnya lambat memproses
maklumat, lesu, pergerakan turut menjadi lambat dan aktiviti metabolisme
badan menjadi perlahan,” ujarnya.
Hormon tiroid dikeluarkan oleh kelenjar tiroid yang terletak di bahagian leher dan menjaga beberapa fungsi utama badan.
Hormon tiroid berkurangan boleh jadi disebabkan oleh kekurangan pengambilan makanan beriodin seperti ikan.
Beban kerja
Jelas Azrul, penyakit ini hanya boleh dikenal pasti doktor dengan membuat ujian darah. Rawatannya ialah dengan memberi ubat yang boleh meningkatkan kembali paras hormon tiroid dalam diri.
Selain daripada itu, kesan sampingan daripada pengambilan ubat juga boleh membawa kepada rasa malas.
Menurut
Azrul, kurang daripada lima peratus pengambil sejenis ubat darah tinggi
atau hipertensi boleh mengalami kesan sampingan seperti kelembapan
mental dan fizikal.
Depresi atau stres juga boleh mendorong kepada rasa malas.
Berkenaan
stres atau depresi jika disebabkan beban kerja yang terlalu banyak
melepasi batasan kemampuan diri, Azrul menyarankan supaya wujudnya
interaksi antara bos dan pekerja.
“Dalam hal ini, pekerja itu dilihat seperti malas tapi sebenarnya bukan malas.
“Dia
mungkin tertekan ekoran beban kerja yang melampaui kemampuan dirinya
atau beban kerja yang tidak seimbang antara pekerja-pekerja. Interaksi
antara bos dan pekerja mungkin boleh memperbaiki keadaan,” ujarnya.
Dari sudut psikologi, malas boleh jadi disebabkan oleh cara individu dibesarkan, pengaruh sekeliling dan kekurangan pengetahuan.
Amalan bertangguh-tangguh atau melengah-lengahkan kerja juga menjadi penyakit masyarakat moden kerana tekanan hambatan masa.
Menurut
sebuah majalah kesihatan, kajian terbaru mendapati 20 hingga 25 peratus
daripada manusia hari ini adalah seorang yang gemar bertangguh
berbanding hanya lima peratus pada tahun 1978.
“Seorang itu menjadi pemalas mungkin juga kerana cara dia dibesarkan yang mana semua yang dikehendaki tersedia untuknya.
Minat
“Seseorang itu juga mungkin menjadi malas kerana ia dipengaruhi oleh orang sekelilingnya yang suka bermalas-malasan.
“Persekitaran
turut mempengaruhi seseorang itu menjadi malas,” ujarnya sambil
menjelaskan terdapat dua kategori malas, iaitu malas pada perkara
tertentu dan malas pada melakukan banyak perkara.
“Ada sesetengah
orang itu kita lihat dia rajin di rumah tapi di pejabat dia malas dan
begitu juga sebaliknya. Mengapa ini berlaku?
“Ia mungkin kerana minat terhadap aktiviti berkenaan kurang kerana kekurangan pendedahan atau pengetahuan,” katanya.
Justeru, untuk mengatasi masalah malas ialah dengan mendapatkan pengetahuan secukupnya terhadap apa yang perlu dibuat.
“Para
bos misalnya perlu peka dengan kondisi pekerja. Mungkin mereka malas
dan tidak produktif kerana mereka tidak tahu atau jelas tentang kerja
yang perlu dilakukan,” katanya.
Memberikan motivasi juga
merupakan salah satu cara untuk menyingkirkan sifat malas. Sebab itulah
pengkaji-pengkaji dari Australia pernah menyifatkan malas yang ekstrem
sebagai motivational deficiency disorder.
“Motivasi boleh datang
daripada dalam diri individu itu sendiri dan boleh diperoleh daripada
dorongan motivasi orang lain. Motivasi bagi diri sendiri boleh diperoleh
dengan menetapkan matlamat yang khusus,” ujarnya.
Selain
daripada itu, bagi keadaan tertentu dan tujuan yang baik, Azrul berkata,
untuk menambah minat seseorang melakukan perkara itu boleh juga
menerusi paksaan.
“Adakalanya penyakit malas perlu diubati dengan
paksaan. Bukankah dalam hidup kita ada perkara yang kita pada awalnya
tidak berminat tetapi berubah minat apabila didorong atau dipaksa untuk
melakukannya?
“Seperti juga yang diajarkan dalam agama tentang
hal solat. Islam mendidik umatnya agar menyuruh anak sembahyang pada
umur tujuh tahun.
“Jika umur 10 tahun, mereka tidak sembahyang,
mereka perlu dipukul. Apabila mereka sudah biasa melakukannya, ia boleh
mendatangkan minat dan mereka membesar menjadi seorang yang tidak malas
untuk menunaikan solat,” katanya.
No comments:
Post a Comment