Aku juga tahu, aku bukan wanita yang sempurna. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang sempurna. Terimalah aku seadanya. Aku yakin yang kamu berpotensi untuk membimbing aku ke jalan yang lebih baik, yang dapat membimbing anak anakku nanti.
Bakal suamiku yang dikasihi,
Sebagai wanita moden, aku tidak akan mengharapkan hantaran beribu-ribu atau berjuta-juta daripadamu. Ikutlah kemampuanmu, aku tidak mahu membebanimu. Kerana hantaran yang murah itu, adalah sebaik-baik wanita. Semasa aku menjadi isteri mu, aku juga tidak mahu wang berlebih-lebihan daripadamu kerana aku punya gaji hasil titik peluhku untuk aku berbelanja memanjakan diriku. Cukuplah sekadar mampu. Kerana aku bukan mengukur kemewahan dan kekayaan itu sebagai pengukur kebahagianku.
Bakal suamiku yang budiman,
Aku juga berharap agar kamu menjaga hubunganmu dengan ibu bapamu, kerana restu ibu bapa itu perlu dalam menjalani hidup di muka bumi ini. Jangan sesekali menyakiti hati mereka, dan senantiasalah mencari redha mereka kerana sekiranya ibu bapa redha, TUHAN juga akan merestui perjalanan kita. Sama jugalah dengan perhubungan kamu dengan ibu ku. Janganlah kerana aku sudah sah milikmu, kamu ketepikan mereka. Sesungguhnya kerana merekalah aku membesar dengan sempurna. Berterima kasihlah kerana mereka tabah dan sabar mendidik aku, sehingga dewasa begini. Aku juga akan membalas budimu dengan melayan ibu bapamu dengan baik sebagaimana tanggungjawabku terhadap ibu ku sendiri. Sesungguhnya wajib ke atas kita untuk menghormati mertua sebagaimana ibu bapa sendiri.
Bakal pemimpinku sayang,
Poligami itu memang hak dirimu yang mutlak dan tiadalah kuasa aku menghalang hukum ALLAH. Namun sekiranya sampai keperluanmu berpoligami, berterus teranglah dengan diriku agar aku dapat membuat persediaan dari segi mental. Aku wanita yang lemah, doakan lah aku tabah dan redha ketentuan ALLAH. Aku memahami perihal keperluan lelaki sehingga dibenarkan nikah lebih daripada satu, dengan syarat berlaku adil. Adil itu bukan pada kamu yang mengadili, tapi kami isteri yang diadili. Maka berlaku adillah semampu kamu, kerana aku percaya apabila timbul kemahuan itu, kamu sudah cukup muhasabah diri, menghakimi diri sendiri dan sudah bersedia menanggung dosa isteri-isterimu. Tidaklah sanggup aku melihat lelaki yang aku cintai berjalan dengan bahu senget sebelah di hari pengadilan nanti.
Aku adalah rusukmu yang bengkok, maka luruskanlah aku dengan kasih sayang. Aku tidak diciptakan dari kaki untuk dialasi, bukan dari kepala untuk dijunjung, tapi dekat di bahu untuk dilindung, dekat pula di hati untuk dikasihi. Maka kasihilah aku seadanya, selagi layak aku dikasihi.
Buat bakal suamiku,
..........................
No comments:
Post a Comment