-->
lakaran pelangi

Monolog seorang suami tentang cinta sejati…




     Sudah pun berlalu 6205 malam bersama mu, 17 tahun usia perkahwinan kita. Tahun pertama semua indah belaka, kamu dimanja dan di cinta sepenuh jiwa sampai lahirlah ke dunia bayi pertama bukti cinta kita.
     Setelah kamu tidak lagi bersungguh melayani kerana separuh kasih mu harus dibahagi untuk seorang bayi maka bermulalah bantahan pertama yang menggores rasa hati. Mengapa kamu tak secantik dulu, mengapa harum mu tidak lagi mendamaikan jiwa ku? Mengapa mata mu tak lagi ghairah yang ada hanya resah. Resah yang aku harap hanya untuk ku bukan yang lain. Mengapa pelukan mu tak lagi singgah, ia telah berpindah. Menjadi dakapan indah untuk anak kecil mu. Oh isteri, rupanya engkau sudah menjadi ibu.
     Tidak salah kah jika aku mencari seorang kekasih yang sepenuh hati sudi menemani seperti mu dulu? Aku hanyut dibelai kasih sayang yang palsu. Namun kamu tetap menanti ku penuh keinsafan. Aku yang berkhianat mengapa kamu yang meminta maaf? Kata mu semua khilaf ku adalah salah mu, kamu punca segala penyelewengan ku.
     Padahal aku yang tidak memahami perubahan seorang isteri menjadi ibu. Air mata mu itu yang membuat ku teringat kasih bonda ku. Malangnya seorang lelaki jika menyakiti wanita, dia terpaksa mengenang kesakitan ibunya.
     Inilah yang membuat ku kembali kepada mu, ibu anak-anakku. Perkahwinan ini telah mengajar ku tentang makna kehidupan. Berkongsi suka duka, kesudian mengalah. Berbahagi beban, belajar makna tak mahu beralah.
     Beribu malam bersama mu, semakin jelas wajah dunia. Dunia mu semakin mempesona ku. Semua tentang kamu, sabar dan tenang tika aku cemas dan ganas. Enggan mendesak tak pernah sekali mengancam atas kelemahan ku. Kamu anggap aku segala-galanya yang terbaik. Sedangkan aku selalu tidak berpuas hati tentang mu.
     Segala pencapaian ku selalu menjadi kebanggaan mu. Sedangkan aku malas mengakui jasa-jasa mu. Kebaikan mu hanya hujung kuku terkubur oleh kehebatan ku dari hujung rambut ke hujung kaki. Kamu hanya isteri yang boleh dicari ganti jika kelemahan mu tak diperbaiki. Sedangkan aku tetap bebas berbuat semahu ku kerana aku tahu cinta mu sejati.
     Bahagianya menjadi suami mu, apa saja suruhan dan arahan kamu sedia taati. Egoku pun kamu cinta begitu juga rajuk dan dendam ku. Kamu telah cintai aku sepenuhnya. Apa saja tentang aku, kamulah pencintanya. Kegilaan mu terhadap ku sungguh dahsyat.
     Sampai kamu tidak peduli tentang saki hati, marah dan terhina kerana ku. Kamu membuang segala impian sendiri kerana ku. Kamu abaikan rintihan jasad dan jiwa mu kerana ku. Kamu perangi dirimu sendiri kerana ku.
     Sampai bila semua kesakitan mu kan berakhir? Jika kamu terus berdoa semoga aku yang bertanggungjawab memberi mu kesakitan itu dipanjangkan umurnya, disayangi Tuhannya, ditambahi rezekinya, dilindungi dari mara bahaya! Seolah-olah kamu berdoa supaya kesakitan itu abadi di hati mu dengan hidupnya aku di sisi mu.
     Namun bermula dari ketika aku asyik memandangi dunia mu tak sedar dunia ku pun berubah. Kegilaan mu kepada ku menampar jiwa raga ku untuk mengakui kamulah yang berhak mencuri impian ku seutuh nya. Hingga tiada lagi nilai kehidupan ini bagi seorang suami melainkan untuk isteri dan anaknya.
     Aku semakin terjerat oleh cintamu yang bermati-matian. Sampai aku sanggup membina keindahan di serata tumpahnya gelas-gelas impian. Yang kamu sungguh kan sepanjang malam.
     Ku bunuh rasa letih untuk hidupkan semangat roh-roh anak kita yang sentiasa mahu bermanja. Tebalkan muka ku menadah rezeki tak kira masa. Kejang kan segala urat nadi mencuri masa.
     Segala-galanya untuk keselesaan cinta ku berlayar ke hati mu. Dengan mu aku belajar menahan sakit. Tika menjadi saksi perjuangan munculnya seorang bayi dari dakapan rahim mu. Saat menghitung detik cemas itu, Tuhan mencurah rahmat ke hatiku menyuburkan lagi cinta ku pada mu. Kamu telah mempesona ku dengan seri wajah seorang ibu.
     Waktu terus berlari, aku belajar menjadi lelaki sejati. Kelemahan ku menjadi kekuatan mu untuk bangkit dan aib mu menjadi cermin untuk ku sedarkan diri. Kita sama tumbuh menjadi jiwa-jiwa yang hampir sempurna.
     Dalam rumah ini kita menghirup ayat-ayat cinta. Menjadi hamba Allah yang setia dengan. Aku tahu, beribu malam kamu berhias dengan tahajud dan doa untuk ku. Perhiasan yang paling cantik pernah ku lihat dengan mata hati ku. Sejati mu terserlah mengetuk pintu-Nya semata-mata kerana ku.
     “Ya Allah kasihanilah suami ku, maafkan dia, berilah hidayah-Mu untuknya, berkati ilmu, rezeki dan amal perbuatannya. Dan matikan dia di saat Engkau benar-benar mencintainya. Pisahkan kami kerana iman dan pertemukan kami kerana iman. Kurniakan dia syurga-Mu yang tertinggi.”
    Oh isteriku, mengapa kamu tidak meminta untuk diri mu sendiri? Kata mu jika aku dapat segala-galanya aku tak akan meninggalkan mu sendiri. Betapa yakin nya kamu dengan cinta kita. Sejati kah aku mencintai mu? Pada mu aku mengaku telah ku temu sehebat-hebat cinta. Semoga sampai menutup mata, abadi kita di syurga-Nya. Menuju sungai-sungai kasih sampai ke dataran hati mu dan hatiku. Lalu  kita sama memuji :”Kamulah cinta sejati ku!.:
DR. HAJI JUANDA BIN HAJI JAYA..
Perunding Undang-Undang Keluarga Islam.
Posted by Unknown at 22:07
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

No comments:

Post a Comment

Newer Post Older Post Home

About Me

View my complete profile

Blog Archive

  • October (2)
  • August (1)
  • July (4)
  • January (22)
  • October (4)
  • September (19)
  • August (28)
  • July (15)
  • May (47)
  • April (3)
  • March (6)
  • February (7)
  • January (2)
  • December (7)
  • November (15)
  • October (9)
  • June (1)
  • May (6)
  • April (4)
  • March (17)
  • January (7)
  • December (4)
  • November (14)
  • October (7)
  • September (2)
  • July (4)
  • June (3)
  • May (10)

Total Pageviews

16783

My Favourite Site

  • Bicara Hati
  • The Official Fishy

Credit

ッ | ッ | ッ
edit by : HAFIZ ZULKAFLY