Interaksi Terbaik Dengan Al-Quran…
Hubungan Manusia dengan al-Quran…
Satu peristiwa yang amat penting kepada umat Islam ialah penurunan al-Quran pada malam Lailatul Qadar. Pada setiap Ramadhan, Rasulullah SAW bertadarus, belajar dan memahami al-Quran daripada Jibrail. Ia bukan sekadar membaca tetapi yang lebih penting ialah memahami dan memerhati serta melaksanakan tuntutan al-Quran. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada satu kaum yang berhimpun pada satu rumah Allah daripada rumah2 Allah yang membaca al-Quran dan belajar memahaminya di kalangan mereka melainkan Allah menurunkan rahmat dan ketenangan, dilindungi oleh para malaikat dan diingati oleh Allah di sisinya.”(al-Nawawi,1991:337,Abu Daud,t.t:1:554)
Firman Allah:
“Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Quran untuk memberi panduan kepada manusia dan keterangan yang nyata.” (al-Baqarah,2:185)
Al-Quran merupakan cahaya yang menerangi akal, jiwa dan hati manusia serta panduan kepada sistem kehidupan manusia. Firman Allah:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkan. Dengan kitab itulah Allah memimpin orang2 yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan.”(al-Ma’idah,5:15-16)
Al –Quran menjawab persoalan yang sentiasa terpahat dalam pemikiran manusia mengenai dirinya sendiri sejak sekian lama iaitu dari mana ia datang, apakah tujuan hidup dan ke mana ia akan pergi. Kenapa kehidupan ini adanya hidup dan mati. Al –Quran menjawab kesemua persoalan tersebut. Kedatangan manusia di atas muka bumi ini membawa amanah dan kehidupannya bukan untuk sehari atau setahun seperti mana pendapat segolongan yang mengatakan bahawa yang memisahkan hidup dan mati adalah masa sahaja. Al-Quran menegaskan bahawa manusia ini dijadikan untuk mendiami akhirat untuk selama-lamanya dan kematian itu bukan sebagai penghabisan hidup malahan manusia akan berpindah dari satu negeri yang bersifat sementara ke dunia yang kekal abadi. Allah berfirman dalam surah al-Mulk 67:2
“Kami jadikan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah yang terlrbih baik amalannya.”
Melalui al-Quran manusia mengetahui tujuan dan matlamat hidupnya serta tugasnya sebagai hamba Allah yang memakmurkan bumi ini.
1) Pertama keistimewaan al-Quran sebagai dastur Illahi kerana ia merupakan kitab yang lengkap, sempurna dan tidak mengandungi sebarang kecacatan. Al-Quran menerangkan serta meletakkan asas2 umum yang diperlukan oleh manusia. Firman Allah:
“Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang2 yang berserah diri kepada Allah.”(al-Nahl,16:89)
2) Kedua ialah Al-Quran merupakan kitab yang mudah dan senang diingat. Allah memudahkan kepada umat Islam menghafal al-Quran serta memeliharanya daripada penyelewengan. Tidak ada satu kitab yang dihafal oleh jutaan orang melainkan al-Quran. Kitab Injil juga tidak dihafal oleh tokoh2 agama mereka. Sedangkan al-Quran dihafal oleh kanak2 Muslim walaupun bahasa Arab bukan bahasa ibunda mereka. Firman Allah:
“Dan sesungguhnya Kami memudahkan al-Quran untuk diingati, maka adakah orang mahu mengambil pelajara.”(al-Qamar,54:17)
3) Ketiga ialah al-Quran merupakan kitab yang adil seperti mana keadilan Allah kepada Hamba-hambaNya tanpa mengira pangkat, keturunan, warna kulit, lelaki mahupun wanita. Keistimewaan keempat ialah al-Quran ini kekal dan sesuai untuk semua zaman dan tempat. Al-Quran bukan merupakan panduan untuk satu bangsa atau satu zaman tetapi ia merupakan pembawa rahmat seluruh alam. Al-Qardawi menyebutkan bahawa al-Quran merupakan sebab kejayaan dan keberkatan orang2 Islam awal zaman Rasulullah SAW. Kehadiran al-Quran telah merubah jiwa, perwatakan dan diri bangsa Arab sehingga mereka dapat membina tamadun ilmu dan iman.
Dalam kontes ini, bagaimana sikap dan interaksi umat Islam dengan al-Quran sedangkan kita mengetahui bahawa apabila kita berpegang dan memahami al-Quran kita merupakan umat yang terbaik dan termaju. Sebenarnya,umat lain menyedari keadaan kaum Muslimin terhadap al-Quran. Oleh itu, kita dapati beberapa siaran radio antarabangsa memperuntukkan waktu untuk menyiarkan program harian untuk bacaan al-Quran. Mereka berbuat demikian kerana mereka yakin umat Islam hari ini hanya mampu mendengar tetapi tidak memahaminya. Mereka yakin umat Islam tidak akan berubah sikap walaupun mendengar ayat2 al-Quran pada setiap hari dan seribu kali sekalipun. Ini disebabkan umat Islam tidak menghiraukan lagi al-Quran yang telah memberi penghormatan yang tertinggi kepada manusia. Rasulullah SAW pernah mengadu kepada Allah mengenai sikap umatnya yang menjadikan al-quran suatu yang tidak diacuhkan: Firman Allah:
“Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan al-quran ini suatu yang tidak diacuhkan.”(al-Furqan,25:30)
Buta terhadap al-Quran akan menyebabkan umat Islam menghadapi penyakit umat terdahulu iaitu mereka tidak membaca kitab2 Taurat dan Injil kecuali untuk angan2 belaka. Firman Allah:
“dan di antara mereka ada yang buta huruf, tidak mengetahui al-Kitab(taurat), kecuali angan2 belaka.”(al-baqarah,2:78)
Buta al-Quran bukan sekadar tidak tahu membaca seperti dalam pengertian umum tetapi maksud buta al-Quran yang kita alami kini ialah kehilangan ilmu pengetahuan yang berteraskan al-Quran dan al-Sunah. Kita tidak memanfaatkan segala dimensi-dimensi ilmu yang ada pada al-Quran seperti ilmu kemasyarakatan, ilmu jiwa dan ilmu akhlak. Oleh itu, kaum Muslimin perlu menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan ilmu pengetahuan yang tepat tentang pandangannya terhadap insan, kehidupan dan kewujudan manusia serta pandangannya tentang fitrah kemanusiaan dan sosial. Pengabaian perkara ini yang mengakibatkan gersangnya pemikiran dan perspektif al-Quran dalam realiti kehidupan kita. Lantas al-Quran yang menjadi sumber kekuatan umat bertukar menjadi beku dan diawet dalam lipatan sejarah. Hal ini disebabkan world view yang terbina dalam pemikiran kita semenjak kecil bahawa al-Quran tidak perlu ditampilkan kecuali dalam keadaan2 tertentu seperti menghadapi saat2 kematian, menziarahi kubur atau dibaca untuk menghiburkan orang2 yang sakit tenat, selaku bacaan yang menjadi permainan mulut. Akibatnya umat Islam tidak mampu lagi berurusan dengan al-Quran secara terbaik. Sebenarnya objektif al-Quran adalah untuk membentuk manusia. Oleh yang demikian tuntutan al-Quran ialah menyuruh manusia berfikir, memahami, membuat penelitian dan percubaan serta mengetahui motif2 dan sebab munasabab sesuatu. Skopnya perlu diperluaskan hingga untuk mengetahui masa hadapan. Tuntutan al-Quran yang paling penting kini ialah melihat kesyumulan dan kesepaduan perspektif al-Quran terhadap hubungan dengan Allah, sesama manusia dan alam.
Sementara itu, tafsir bertema merupakan aliran tafsiran baru yang dapat menonjolkan matlamat Islam. Muhammad al-Ghazali berpendapat tafsir tema ialah menggarap sesuatu surah dengan seutuhnya, melakar gambaran menyeluruh dan menghubungkaitkan kesepaduan serta kaitan bahawa awalnya ialah pengantar dan penghujungnya ialah kebenaran kepada pengantar. Ia mengumpul dan menyusun kesemua ayat2 yang berkaitan dengan semua tema untuk melihat bagaimana al-Quran menanganikonsep secara padu dan utuh. Tafsir bertema dapat mengemukan alternatif dan menonjolkan matlamat dan maqasid al-Quran. Ia juga mampu mengemukakan manhaj dakwah dan islah mengikut perspektif al-Quran yang sebenar. Di samping itu, metode tafsir yang paling ideal untuk membimbing manusia mengenal pelbagai petunjuk yang terkandung dalam al-Quran.
Sepatutnya umat Islam bukan sahaja mengelokkan bacaan semata-mata tetapi juga hendaklah tadabbur seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Mereka membaca, meneliti, memahami dan melaksanakan suruhan al-Quran dan kemudian baru berpindah ke ayat lain. Apabila para sahabat mendengar al-Quran terkesan penghayatannya dalam jiwa mereka. Pernah Saidatina Umar bin Abdul Aziiz mengulangi ayat ini iaitu firman Allah:
(Allah berfirman kepada malaikat): “Himpunkanlah orang2 yang zalim ini, dan orang2 yang berkeadaan seperti mereka, serta benda2 yang mereka sembah yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan yang membawa ke neraka. Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya mereka akan disoal.”(al-Saffat,37:22-24)
Ayat al-Saffat 22-24 dibaca sepanjang malam sehingga waktu subuh sambil menangis kerana terkenang jikalau ia termasuk di antara orang yang dihumban ke dalam api neraka akibat melakukan kezaliman di atas dunia ini.
Syeikh Muhammad al-Ghazali mengulas mengenai sikap umat Islam terhadap al-Quran dengan katanya “tetapi sikap dan pendirian kaum Muslimin terhadap al-Quran yang telah memberi penghormatan kepada mereka sungguh menyedihkan. Semenjak beberapa kurun, dakwah al-Quran telah dibekukan, risalah Islam laksana sungai yang telah kering airnya atau piala yang di sumbat mulutnya.”
Oleh yang demikian, proses interaksi dengan al-Quran yang terbaik ialah memahami dan menyelami makna serta maksud. Perkara ini amat penting supaya menghasilkan ‘izzah (kemuliaan) yang selama ini telah hilang di tangan umat Islam. Rashid Rida pernah menyebutkan bahawa kebangkitan umat bertitik tolak daripada prinsip al-Quran yang akan mengerah dan mengarah seluruh kekuatan akal dan jasad untuk kesempurnaan jiwanya dan kesejahteraan bangsanya. Revolusi itu akan membebaskan akal insani dan kemanusiaan daripada perhambaan yang dicipta oleh orang2 yang menganggap dirinya memiliki sifat rububiyyah. Revolusi kemanusiaan semacam itu hanya mungkin terjadi melalui prinsip al-Quran. Oleh itu, al-Quran merupakan lambang dan suntikan kepada revolusi dalaman untuk membina umat yang mulia. Al-Quran diturunkan untuk diamalkan, bukan diturunkan untuk menghias dinding2 rumah, bukan diturunkan untuk dibaca kepada orang2 mati tetapi diturunkan untuk menjadi panduan bagi orang yang hidup. Al-Quran diturunkan untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada nur Illahi. Manusia berkata : “Kami hendak mengambil berkat dari al-Quran.” Apakah itu berkat? Sedangkan kita tidak pernah mengikuti perintah al-Quran. Berkat itu terletak pada orang2 yang mengikuti kitab hidayah ini. Firman Allah: “Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan barakah supaya mereka memerhatikan ayat2nya dan supaya mendapat pelajaran orang2 yang mempunyai fikiran.”(Sad,38:29)
Malangnya, kita tidak beramal dengan al-Quran sepenuhnya. Umat surah al-Syura tetapi tidak beramal dengannya, umat surah al-Hadid (besi) tetapi tidak menguasai bidang tersebut, umat surah al-Alaq yang dimulai dengan Iqra’, tetapi tidak membaca malahan masih ramai lagi yang jahil tentang agama Islam. Di manakah kedudukan umat Islam sekarang dengan al-Quran? Oleh itu, perlulah kita bermuhasabah interaksi kita dengan al-Quran dengan menghayati falsafah penurunannya, konsep dan metode pentafsiran terkini sebagai panduan dalam kehidupan manusia.
Memahami Keistimewaan Al-Quran
Allah telah memuliakan kita kaum Muslimin dengan menurunkan sebaik-baik kitab iaitu al-Quran seperti mana Allah memuliakan kita dengan mengutus sebaik-baik rasul. Kaum Muslimin adalah satu-satunya umat yang mempunyai perutusan dari langit yang terpelihara daripada penyelewengan dan kebatilan. Perkara ini disebabkan kerana Allah sendiri yang memeliharanya. Firman Allah: “Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya kami yang memeliharanya.”(al-Hajr,15:9)
Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati2 manusia ke jalan kebaikan dan kebajikan. Antara ciri2 dan keistimewaan al-Quran adalah pertama, ia merupakan kitab Illahi iaitu datangnya dari Allah yang tidak ada keraguan padanya. Allah menurunkan al-Quran melalui Malaikat Jibrail. Firman Allah: “Suatu kitab yang ayat2nya disusun dengan rapi serta di jelaskan secara terperinci yang diturunkan di sisi Allah Yang Maha bijaksana lagi Maha Mengetahui.”(Hud,11:1)
Kedua, ialah al-Quran merupakan kitab yang terpelihara seperti mana jaminan yang telah diberikan oleh Allah untuk memeliharanya. Oleh demikian, kita dapati begitu ramai orang yang menghafal al-Quran dengan baik sejak kanak2 lagi dan Allah memudahkan mereka untuk mengingatinya. Pemeliharaan tersebut juga didapati dengan penulisan al-Quran yang rapi oleh para sahabat selepas ayat2 tersebut diturunkan dan dibukukan pada zaman khulafa’ al-rasyidin.
Ketiga, al-Quran merupakan kitab mukjizat yang terbesar dikurniakan kepada nabi Muhammad yang mencabar kekuatan dan pemikiran manusia. Manusia tidak mampu untuk menandingi al-Quran sama ada dari segi bahasa, makna dan cerita2 yang terkandung di dalamnya. Firman Allah: “Dan jika kamu tetap ragu2 tentang apa yang Kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka datanglah satu surah sepertinya dan ajaklah penolong2 kamu selain Allah jika kamu benar2 orang yang benar.” (al-Baqarah,2:23)
Keempat, al-Quran merupakan kitab yang mudah difahami dan jelas maksudnya. Ia bukan kitab falsafah yang mengandungi teori2 yang memeningkan. Ahli falsafah menyebutkan bahawa falsafah itu apabila diterangkan dan tidak difahami itulah dinamakan falsafah. Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk difahami dan sasaran adalah untuk manusia sejagat. Firman Allah: “..dan sesungguhnya kami mempermudahkan al-Quran itu untuk diingati, maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran.” (al-Qamar,54:17)
Kelima, al-Quran merupakan kitab agama secara keseluruhannya yang mengandung aspek akidah, ibadah, akhlak dan perundangan. Sesiapa yang ingin memahami akidah yang betul dan suci, maka hendaklah ia menggali dari al-Quran. Al-Quran memberi dalil2 yang jelas tentang keesaan Allah. Firman Allah: “Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan2 selain Allah, tentulah kedua-duanya telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai Arasy daripada apa yang mereka sifatkan.” (al-Anbiya’,21:22)
Begitu juga al-Quran mengandungi syariat dan peraturan untuk kehidupan manusia. Syariat ini meliputi aspek individu, keluarga, masyarakat, ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Di samping itu, al-Quran menegaskan pembinaan akhlak melalui penghayatan sifat sabar, gigih berusaha, tekun, bertawakal dan rela dengan ketentuan Illahi.
Keenam, al-Quran merupakan kitab sepanjang zaman, bukan kitab untuk zaman tertentu atau generasi tertentu. Ini bermakna bahawa al-Quran merupakan kitab yang kekal abadi hingga hari Kiamat. Oleh itu, tidak harus kaum Muslimin mengatakan bahawa al-Quran itu sesuai untuk zaman nabi sahaja atau zaman para sahabat dan tidak sesuai lagi pada zaman moden ini.
Ketujuh, al-Quran merupakan kitab kemanusiaan dan kehidupan. Oleh sebab itu, Allah menjadikan al-Quran sebagai kitab petunjuk kepada manusia dan alam. Firman Allah: “Pada bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk itu dan pembeda (antara hak dan batil).” (al-Baqarah,2:185)
Inilah tujuh perkara ciri2 keistimewaan al-Quran yang membezakan kitab2 yang lain. Al-Quran diturunkan untuk umat Islam mengimani dengan penuh keyakinan akan kebenarannya.
Allah menyebutkan bahawa sifat mukmin sejati adalah mereka yang tidak sama sekali ragu tentang kandungan al-Quran. Nabi Muhammad apabila tiba bulan ramadan baginda akan bertadarus bersama Jibrail dan rumah yang sentiasa diterangi dengan bacaan al-Quran akan dilimpahkan rahmat dan berkat. Penurunan al-Quran merupakan nikmat yang terbesar dikurniakan Allah kepada umat Islam. Oleh itu, kita harus bersyukur dengan membuktikannya melalui taat segala perintah al-Quran dan mengamalkan ajaran2 yang terkandung di dalamnya dan menjadikan kita sebagai ahli al-Quran, bukan sahaja dalam bulan Ramadhan tetapi juga dalam bulan2 yang lain.
Memahami Tujuan2 al-Quran
Al-Quran ialah kalam Allah yang bermukjizat yang diturunkan kepada nabi SAW, yang ditulis di dalam mushaf yang dipindah dengan tawatir dan menjadi ibadah membacanya.
Penurunan al-Quran mengandungi tujuan2 yang tertentu.
1) Pertama, tujuan al-Quran ialah membetulkan akidah, mensabitkan ketuhanan Allah yang Maha Esa, tugas nabi2 dan penyataan kewujudan hari akhirat. Al-Quran menggambarkan bahawa syirik merupakan satu perbuatan dosa yang besar dan tidak diampuni oleh Allah. Kesemua para nabi menyeru manusia kepada Allah yang Maha Esa. Firman Allah: “Dan sesungguhnya kami telah mengutus rasul pada setiap umat yang menyeru; “sembahlah allah saja dan menjauhi thaghut itu.” (al-Nahl,16:36)
Di samping itu, al-Quran menjelaskan keperluan manusia kepada nabi2 dan risalahnya, menerangkan tugas para nabi dan menolak dakwaan dan tanggapan yang salah mengenai nabi. Al-Quran juga menjelaskan kewujudan hari akhirat itu benar dan pasti setiap manusia akan menghadapinya.
2) Kedua, tujuan al-Quran ialah pengisytiharan terhadap kemuliaan manusia dan hak2nya. Al-Quran menegaskan bahawa manusia adalah makhluk yang mulia yang dijadikan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian. Oleh sebab itu, al-Quran melarang sebahagian golongan pelampau yang mengharamkan perkara2 baik dan perhiasan seperti yang diungkapkan oleh Allah dalam surah al-Araaf, ayat 32. Al-Quran juga memperakui hak2 asasi manusia seperti kebebasan bersuara, berfikir, beriktikad, tempat tinggal dan mencari rezeki.
3) Ketiga, tujuan al-Quran ialah memberitahu bahawa manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah. Allah yang menciptakan manusia, memberi rezeki, mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak dapat dihitung. Oleh itu, menjadi hak Allah untuk manusia bersyukur dan bertakwa kepadanya. Orang yang bertakwa akan mendapat keberkatan, rezeki yang murah, terpelihara dari gangguan musuh, sentiasa mendapat petunjuk dari Allah dan berjaya dari azab akhirat.
4) Keempat, tujuan al-Quran adalah untuk menyucikan jiwa manusia. Al-Quran sentiasa menyeru manusia supaya membersihkan jiwanya dengan melakukan kebaikan. Beruntunglah orang yang dapat memimpin jiwanya ke arah keredaan Allah. Secara fitrahnya, jiwa boleh terjerumus ke lembah kehinaan apabila ia tidak dididik dan jiwa boleh mencapai tahap termulia apabila ia dibersihkan. Firman Allah: “Dan jiwa serta penyempurnaan ciptaan-Nya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.”(al-Syams,91:7-10)
5) Kelima, tujuan al-Quran ialah membina keluarga yang soleh menjadi teras kepada kekuatan umat. Al-Quran menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perkahwinan itu dapat melahirkan ketenangan, kebahagiaan dan rahmat. Al-Quran memerangi golongan yang menghalalkan homoseksual dan lesbian kerana ia melanggar fitrah manusia. Di samping itu, Islam juga memerangi golongan yang mengharamkan perkahwinan atas alasan bahawa perkahwinan adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Al-Quran juga memberi kedudukan yang mulia kepada wanita dengan mengangkat martabat mereka menyamai kaum lelaki dari segi amalan dan ganjaran pahala.
6) Keenam, tujuan al-Quran adalah untuk membina umat yang mempunyai kemuliaan dan menjadi saksi atas umat yang lain. Umat yang mengasaskan kehidupannya berteraskan kepada akidah, syariat dan akhlak Islam sekali gus membawa rahmat kepada manusia sejagat. Firman Allah: “Dan tidak kami utuskan kamu (Muhammad) kecuali untuk membawa rahmat bagi seluruh alam.” (al-Anbiya’,21:107)
Antara keistimewaan umat Islam ialah ia adalah umat rabbani iaitu umat yang hidup kerana mencari keredaan Allah, beribadat kerana Allah dan menjalankan manhaj Allah di atas muka bumi ini. Di samping itu, ia juga adalah umat sederhana dan seimbang, umat yang sentiasa berdakwah ke arah kebaikan dan umat yang sukakan kesatuan dan bersatu padu. Inilah empat ciri umat Islam berbanding dengan umat yang lain.
7) Ketujuh, al-Quran menyeru kepada aspek keinsanan yang tolong-menolong antara sesama manusia. Umat Islam bukan umat yang menyendiri tanpa menghiraukan bangsa-bangsa yang lain. Oleh itu, Islam menghormati kebebasan beragama dan perbezaan pendapat. Umat Islam berperanan untuk menyeru manusia ke arah hidayah Allah, keimanan, kemakmuran dan kebahagiaan yanh hakiki. Dengan sebab demikian, Allah memuji umat ini kerana mereka menjalankan amar makruf wan nahi annil mungkar. Inilah tujuh perkara antara yang digariskan oleh para ulama sebagai tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia.